KUALA LUMPUR, 19 Jun: Kementerian Pertahanan (MINDEF) bersedia menerima sebarang arahan daripada kerajaan berhubung usaha membawa pulang rakyat Malaysia di Iran susulan konflik yang semakin meruncing antara negara itu dengan Israel.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, buat masa ini kementeriannya belum menerima arahan rasmi berikutan operasi pemindahan di bawah tanggungjawab Kementerian Luar Negeri (KLN).
“(Saya fikir) lebih sesuai untuk mendapatkan penjelasan lanjut daripada KLN kerana mereka lebih arif dan bertanggungjawab dalam hal ehwal luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Tentera Ke-59 di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sini, pada Khamis.
Turut hadir Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Gorima.
Ditanya mengenai penglibatan MINDEF dan keperluan penggunaan aset tentera dalam misi tersebut, Mohamed Khaled menjelaskan bahawa ia bukanlah satu keutamaan dalam situasi ini bagi mengelakkan sebarang salah tafsir di peringkat antarabangsa.
“Dalam hal ini, mungkin tidak melibatkan MINDEF secara langsung.
“Sekiranya ada keperluan sekalipun, usaha itu mungkin tidak melibatkan penggunaan aset tentera kerana penggunaan pesawat tentera mungkin menimbulkan salah faham seolah-olah tentera (kita) membantu di negara lain,” jawabnya.
Ketegangan di Asia Barat memuncak selepas Israel melancarkan serangan udara tanpa provokasi ke atas Iran sejak Jumaat lepas.
Sebagai tindak balas, Iran telah melancarkan beberapa peluru berpandu balistik ke arah lokasi strategik di Israel, mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan rakyat asing di rantau itu, termasuk rakyat Malaysia. -TVS.