KUALA LUMPUR, 19 Jun: Malaysia berhasrat untuk bekerjasama sebagai negara rakan dan meneroka bidang kerjasama khusus yang baharu dalam BRICS, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, hasrat kerajaan itu sama sekali bertentangan dengan tanggapan dangkal mengenai penglibatan beberapa negara Asia Selatan dalam BRICS, sambil menegaskan langkah itu bukanlah soal memilih mana-mana pihak atau menjauhkan diri daripada negara Barat.
“Sebaliknya, ia adalah manifestasi keupayaan, autonomi, dan kepercayaan terhadap kerjasama berterusan bagi menangani cabaran bersama,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar di Mesyuarat Meja Bulat Asia Pasifik ke-38 (APR) di sebuah hotel di ibu negara, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, usaha itu bukan sahaja menjadi pemangkin kepada mobilisasi negara-negara selatan global, tetapi juga menggalakkan penyelarasan yang lebih erat dengan negara-negara utara global dalam usaha yang sama.
Jelas beliau, pengukuhan semula BRICS baru-baru ini dengan penyertaan anggota dan negara rakan dari Timur Tengah, Asia Tenggara, Asia Tengah, Afrika dan Amerika Selatan merupakan inti pati kepada usaha merapatkan hubungan antara wilayah.
Untuk rekod, tahun lalu, Malaysia diiktiraf sebagai satu daripada 13 negara rakan yang ditambah secara rasmi dalam BRICS, sebuah blok yang secara kolektif menyumbang satu per lima kepada perdagangan global.
Sementara itu Anwar yang juga Menteri Kewangan menekankan bahawa perdagangan antarabangsa mesti dikawal selia melalui peraturan yang telus dan kepastian undang-undang, bukannya melalui tindakan unilateral atau langkah ekonomi yang bersifat paksaan.
“Gangguan dalam perdagangan dan rantaian bekalan akan memberi kesan buruk kepada perniagaan dan memberi impak tidak baik kepada pertumbuhan ekonomi, sekali gus menjejaskan usaha untuk menjamin kesejahteraan sosio ekonomi rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, ujar beliau Malaysia akan terus berhubung secara konstruktif dengan Amerika Syarikat (AS), China, Kesatuan Eropah (EU), India dan pihak lain dalam memperjuangkan kepentingan negara dan serantau.
“Perlu ditegaskan, strategi Malaysia yang mengamalkan dasar tidak berpihak secara aktif adalah satu kerangka yang disengajakan dan berprinsip, bertujuan untuk memaksimumkan fleksibiliti strategik, memelihara kebebasan membuat keputusan dan berinteraksi dengan semua rakan mengikut terma kita sendiri.
“Sepanjang dua tahun lalu, Malaysia telah menjalin hubungan dengan rakan-rakan sehaluan dalam kalangan negara selatan global untuk membina jalinan antara wilayah, membina tekad bersama dan memajukan kemakmuran bersama,” ujarnya. – TVS