MIRI, 18 Jun: Kerajaan Sarawak sentiasa komited untuk memastikan seluruh atau sekurang-kurangnya sebahagian besar penempatan di luar bandar wilayah ini dihubungkan dengan akses jalan raya menjelang 2030.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata ia akan dilaksanakan menerusi pembangunan infrastruktur yang dipertingkatkan di bawah sembilan agensi pembangunan wilayah yang ada di negeri ini.
“Setiap agensi yang ada di Sarawak telah diberi peruntukan sebanyak RM1.5 bilion setiap satu. Amat penting untuk peruntukan digunakan sepenuhnya untuk pembangunan sejajar dengan rancangan pembangunan ekonomi untuk komuniti luar bandar.
“Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengharapkan agar ia dimanfaatkan segera untuk manfaat dan kesejahteraan rakyat.
“Rakyat juga amat mengharapkan agar kemudahan akses jalan raya ditempat mereka akan dinaik taraf. Jika tidak, mereka akan meluahkan kekecewaan terhadap kerajaan dan wakil rakyat menerusi media sosial,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (MIOD) berkata demikian ketika berucap pada sesi makmal Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) bagi cadangan projek dan program di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 di sini, semalam.
Tambahnya, semua agensi pelaksana juga perlu menyelesaikan sebarang kelewatan melalui perbincangan di peringkat akar umbi dengan seberapa segera yang mungkin.
Untuk HDA, Uggah berkata sebanyak RM1 juta diperuntukkan bagi melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan infrastruktur dan ekonomi, sekali gus berharap baki berjumlah RM500 juta akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya menjelang pertengahan tahun depan.
Jelas beliau, meskipun kawasan Baram mempunyai banyak bekas jalan balak, kebanyakan laluan terbabit memerlukan penyelenggaraan, naik taraf serta penggantian jambatan.
“Keadaannya agak rumit, kita perlu mencari penyelesaian penyelenggaraan jangka panjang,” katanya sambil menambah beliau akan bersama pasukan Jabatan Kerja Raya Sarawak ke Bario bulan depan untuk menilai keadaan di kawasan terlibat.
Mengenai prospek ekonomi, Uggah berkata, Bario mempunyai potensi besar dalam sektor pertanian penanaman kopi dan buah markisa, produk kraf tangan serta penternakan kerbau khususnya.
“Penduduk di sini mempunyai kerbau yang banyak jadi, saya cadangkan agar ia diteruskan sepertimana berlaku di Stesen Penternakan Kerbau Meragang di Limbang, penghasilan keju daripada susu kerbau sedang dijalankan,” katanya.
Pada masa sama, Uggah turut menekankan sektor pelancongan budaya dan adat yang unik di kawasan itu juga berpotensi untuk terus dimajukan.