Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pengarah Eksekutif Majlis Tertinggi Pusat Tenaga ASEAN (ACE), Datuk Razib Dawood ketika ditemui TVS pada Rabu

Grid Tenaga ASEAN masuk fasa baharu, fokus rentas sempadan

ByOdleen Catherny

KUCHING, 19 Jun: Pelaksanaan awal Grid Tenaga ASEAN (APG) kini memasuki fasa lebih agresif menerusi pelaksanaan beberapa projek baharu sambungan tenaga rentas sempadan dan antara wilayah.

Pengarah Eksekutif Majlis Tertinggi Pusat Tenaga ASEAN (ACE), Datuk Razib Dawood berkata, pelaksanaan APG ketika ini terbahagi kepada dua komponen utama iaitu naik taraf infrastruktur sedia ada dan pelaksanaan projek sambungan baharu yang diumumkan negara-negara anggota ASEAN.

“Kita ada dua kumpulan. Pertama, Malaysia akan menaik taraf aset sedia ada dengan Thailand dan kita juga menyiapkan fasa pertama naik taraf grid antara Malaysia dan Singapura,” katanya.

Menurutnya, tumpuan utama kini diberikan kepada beberapa projek baharu berskala besar termasuk sambungan grid dari Sarawak ke Singapura, Sarawak ke Semenanjung Malaysia, Malaysia ke Sumatera (Indonesia) serta dari Vietnam ke Semenanjung Malaysia dan Singapura.

Tambahnya, projek-projek tersebut mencerminkan pendekatan menyeluruh ke arah penyatuan grid tenaga serantau lebih mampan sejajar dengan usaha mempercepatkan peralihan tenaga bersih di ASEAN.

Beliau turut memaklumkan peluasan APG kini turut melibatkan negara-negara di rantau Greater Mekong seperti Vietnam, Laos dan Kemboja melalui sambungan dua hala yang sedang dirancang dan dibincangkan.

“Majlis Tertinggi ACE mengenal pasti sebanyak 18 projek sambungan tenaga antara negara anggota. Jumlah ini dijangka terus meningkat dari semasa ke semasa.

“Apa yang penting sekarang adalah bagaimana kita boleh mempercepatkan pelaksanaannya agar manfaat ekonomi dan sosial dapat dirasai dengan lebih segera,” ujarnya.

Razib berkata, APG bukan sekadar pemangkin kepada usaha dekarbonisasi dan elektrifikasicmalah berperanan penting dalam menjana pertumbuhan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan memperluas akses kepada tenaga elektrik di seluruh rantau ASEAN.

“Ini adalah projek besar dan berskala gergasi. Namun, dengan kerjasama dan perkongsian manfaat antara negara anggota, seluruh penduduk ASEAN termasuk generasi akan datang akan merasai keuntungannya.

“Ia adalah satu usaha mulia demi kemakmuran rantau ini,” jelasnya.

Dengan hala tuju yang semakin jelas dan kerjasama serantau yang semakin kukuh, APG kini berada di landasan untuk menjadi asas infrastruktur tenaga bersama ASEAN dalam menghadapi cabaran tenaga global masa hadapan.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan