Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Rogers Runin (kiri), Abdul Azif Pani (tengah) dan Nuramalina Ali (kanan) ditemui TVS di Borneo Empurau Farm & Resort di Serian pada Khamis. Foto TVS

Empurau pemangkin ekonomi baharu Sarawak

SERIAN, 19 Jun: Kerajaan Sarawak kini giat memperkasakan semula industri akuakultur khususnya penternakan ikan empurau (Tor tambroides) sebagai salah satu pemangkin utama pertumbuhan ekonomi wilayah ini dan sumber tarikan pelancongan baharu.

Pengarah Borneo Empurau Farm & Resort Sdn Bhd, Rogers Runin, 65, menyambut baik hasrat Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk memulihkan ekosistem Sungai Baleh dengan menanam semula pokok ensurai iaitu sumber makanan utama ikan empurau.

“Kami amat menyokong cadangan YAB Premier untuk menghidupkan kembali habitat semula jadi empurau, kerana spesies ini bukan sahaja sangat berharga dari segi nilai pasaran tetapi juga menjadi lambang warisan semula jadi Sarawak,” katanya kepada TVS ketika ditemui di Borneo Empurau Farm & Resort, Serian.

Menurutnya, empurau merupakan antara spesies ikan air tawar termahal di dunia dan jika dibela dalam habitat semula jadi, ia mampu menjana pendapatan tinggi kepada penduduk kampung.

“Namun, perlu ada kawalan dalam kaedah penangkapan, hanya ikan yang cukup matang wajar dituai bagi memastikan spesies ini tidak pupus,” ujarnya.

Beliau berkata, industri empurau bukan sekadar menjanjikan pulangan ekonomi malah mempunyai potensi besar dalam sektor ekopelancongan.

Borneo Empurau Farm & Resort kini menawarkan pengalaman interaktif kepada pelawat untuk melihat sendiri proses penternakan empurau secara lestari.

Bagi usahawan tempatan, Abdul Azif Pani, 33, cadangan Premier Sarawak adalah langkah strategik yang menyatukan pemuliharaan alam sekitar dan pembangunan ekonomi.

“Empurau bukan sekadar komoditi ekonomi tetapi juga penanda aras kepada kesihatan ekosistem sungai kita. Saya harap inisiatif ini dijalankan secara saintifik dan disokong dengan dasar perlindungan jangka panjang,” jelasnya.

Pelajar institusi pengajian tinggi, Nuramalina Ali, 20, pula melihat inisiatif tersebut sebagai langkah tepat dalam menjamin bekalan makanan jangka panjang.

“Empurau sangat bernilai di pasaran dan mendapat permintaan tinggi termasuk daripada pelancong. Kalau habitatnya berjaya dipulihkan, ia akan menyumbang kepada sekuriti makanan, asalkan kawalan terhadap eksploitasi turut diberi perhatian,” kata Nuramalina.

Usaha Kerajaan Sarawak ini juga seiring dengan matlamat Pelan Induk Makanan dan Pertanian Negara (DAN 2.0) 2021–2030 yang disasarkan Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan sumbangan akuakultur kepada 60 peratus dalam sektor perikanan negara.

Menerusi pendekatan menyeluruh dan lestari tersebut, pengeluaran akuakultur dijangka meningkat daripada 438,000 tan pada tahun 2021 kepada 958,000 tan menjelang 2030.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan