KUBANG PASU, 19 Jun:Polis menumpaskan sindiket pemprosesan dan penyeludupan dadah yang dipercayai beroperasi merentasi sempadan Malaysia–Thailand, pada Ahad lepas.
Pemangku Pengarah Narkotik (Risikan/Operasi) Bukit Aman, Deputi Komisioner Polis Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali, berkata menerusi operasi khas dilancarkan bersama pihak berkuasa Thailand, mereka berjaya merampas dadah jenis heroin base dan serbuk Methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) bernilai RM10.8 juta.
Katanya, dua rakyat tempatan iaitu seorang lelaki berusia 37 tahun dan seorang wanita berusia 35 tahun yang dipercayai menjadi transporter dengan menerima upah RM20,000 seorang untuk membawa masuk dadah ke negara ini berjaya ditahan secara berasingan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Keselamatan (ICQS) di Bukit Kayu Hitam (BKH).
“Dalam tangkapan pertama pada jam 5.40 petang, polis menahan serbuan kereta jenis Honda Accord yang dipandu seorang lelaki di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam.
“Pemeriksaan di dalam kenderaan menemui 160 bungkusan plastik berisi heroin base seberat 59.20 kilogram (kg) yang disembunyikan dalam ruang khas di belakang tempat duduk.
“Manakala tangkapan kedua pula dibuat hanya 15 minit kemudian di sebuah stesen minyak berhampiran Lebuhraya Utara-Selatan, melibatkan seorang wanita berumur 35 tahun memandu kereta sama jenis,”katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu di sini hari ini.
Beliau memberitahu, hasil pemeriksaan menemukan 155 bungkusan heroin seberat 21.26 kg dan 35 paket serbuk disyaki MDMA seberat 2.37 kg.
Mat Zani @ Mohd Salahuddin berkata, sindiket ini dipercayai menggunakan kenderaan persendirian yang telah diubah suai bagi menyeludup dadah dari Thailand ke Malaysia sebelum diproses di sekitar Pulau Pinang.
“Rampasan keseluruhan dadah itu katanya dianggarkan cukup untuk merosakkan seramai 7.8 juta individu.
“Selain rampasan dadah, polis turut menyita dua buah kenderaan iaitu Perodua Myvi dan Proton Saga yang dianggarkan bernilai RM66,000 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.
“Jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan mencecah nilai RM10.9 juta,” ujarnya.
Katanya, kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari bermula 16 hingga 22 Jun bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. -TVS.