PUTRAJAYA, 19 Jun: Bilangan koperasi dalam negara meningkat kepada 16,284 buah dengan keanggotaan seramai 7.2 juta orang, kata Datuk Ewon Benedick.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu berkata, gerakan koperasi negara juga telah mencatatkan perolehan memberangsangkan berjumlah RM68.1 bilion.
“Pada masa yang sama, kejayaan gerakan koperasi menceburi pelbagai sektor ekonomi telah berjaya meningkatkan pengumpulan modal syer dan yuran kepada RM18.3 bilion dengan penjanaan aset berjumlah RM173.3 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Bulan Koperasi Kebangsaan 2025 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ewon berkata, pencapaian itu adalah selaras dengan objektif dan inisiatif yang telah digariskan di dalam Dasar Koperasi Malaysia 2030 (DAKOM2030) untuk memacu sektor koperasi sebagai pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi Malaysia menerusi pewujudan ekosistem koperasi yang holistik dan kondusif.
Melihat kepada perkembangan itu, Ewon optimis, koperasi negara mampu meraih perolehan sebanyak RM109 bilion menjelang 2030.
“Saya mencabar gerakan koperasi untuk tidak menyumbang nilai perolehan sahaja, tetapi sumbangan sebenar kepada KDNK negara, namun ini memerlukan kerjasama semua pihak.
“Dari segi pertambahan koperasi pula, jumlahnya terus meningkat setiap tahun dengan 1,005 tahun ini.
“Ini memperlihatkan sambutan positif dalam kalangan rakyat Malaysia yang mahu menjadikan gerakan koperasi dalam hidup mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Ewon memaklumkan, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah memperuntukkan RM2 juta bagi pelaksanaan Program Jelajah Koperasi, melibatkan penyertaan 160 koperasi seluruh negara.
Katanya, setakat ini, 94 buah koperasi telah mendapat kelulusan pembiayaan berjumlah RM 1.026 juta.
Selain itu, katanya, sebanyak RM642,000 turut disalurkan untuk program Jualan MADANI Koperasi yang dilaksanakan secara menyeluruh di pelbagai lokasi.
Jelas Ewon, program itu bertujuan menggalakkan penyertaan koperasi dalam aktiviti ekonomi tempatan dan memberi manfaat langsung kepada komuniti. – TVS