KUALA LUMPUR, 19 Jun: Negara-negara ASEAN diminta untuk memperkukuh tekad bersama dalam menangani krisis berterusan di Myanmar, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, ASEAN perlu bergerak melangkaui sekadar kenyataan semata-mata, sebaliknya perlu memgambil pendekatan transformasi.
“Malaysia beranggapan bahawa ia merupakan satu tanggungjawab besar untuk menggerakkan setiap mekanisme ASEAN yang tersedia dan bekerjasama dengan semua rakan bagi meredakan keganasan dan seterusnya ke arah proses damai yang dipimpin dan dimiliki sepenuhnya oleh rakyat Myanmar sendiri.
“Oleh itu, saya merayu kepada rakan-rakan saya, khususnya di Myanmar dan dalam kalangan negara anggota ASEAN supaya memperkukuh tekad bersama untuk berusaha ke arah Myanmar yang aman dan berdaya tahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar di Mesyuarat Meja Bulat Asia Pasifik ke-38 (APR) di sebuah hotel di ibu negara, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini memuji negara anggota yang terus konsisten dalam menyampaikan pendirian terhadap krisis yang berpanjangan di negara itu.
Jelas Anwar, mesej mengenai tiada kompromi terhadap pelaksanaan gencatan senjata itu perlu diteruskan dan menyifatkan terdapat keperluan untuk memulakan dialog inklusif dengan semua pihak. – TVS