KUALA LUMPUR, 19 Jun: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan Israel menyerang Iran secara berterusan bertujuan sengaja mengagalkan rundingan menerusi dialog yang sedang berlangsung.
Jelas Anwar perkembangan itu sekali gus akan memusnahkan harapan untuk mencapai penyelesaian damai di rantau berkenaan.
Beliau yang mengecam keras-kerasnya serangan udara rejim zionas terhadap Iran berkata, perbuatan itu merupakan tindakan menghukum dan tanpa provokasi yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa.
“Kita (Malaysia) berpihak kepada keamanan tanpa syarat di rantau tersebut kerana jika kita membiarkan tindakan yang dilakukan tanpa sebarang rasa bersalah, melanggar undang-undang antarabangsa dan merosakkan norma-norma yang mendasari tertib dunia, maka masa depan kita semua pastinya suram.
“Oleh itu, kita mesti mempunyai keberanian untuk menggesa pihak yang mempunyai kuasa dan pengaruh supaya bercakap secara berterus terang dan bertindak tegas bagi membendung sebarang peningkatan ketegangan,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar di Mesyuarat Meja Bulat Asia Pasifik ke-38 (APR) di sebuah hotel di ibu negara, hari ini..
Mengulas lanjut, Anwar berkata, pendirian Malaysia berhubung isu tersebut sama seperti krisis di Gaza dengan menegaskan akan terus menyuarakan hal itu.
Anwar menambah, setiap negara perlu menyuarakan keprihatinan dan menyeru agar kewarasan mengatasi kebencian.
“Angka korban orang awam yang amat mengejutkan saban hari, majoritinya wanita dan kanak-kanak, menuntut lebih daripada sekadar kenyataan keprihatinan yang bersifat retorik.
“Ia menuntut tindakan antarabangsa yang bersepadu untuk menegakkan undang-undang kemanusiaan, memastikan gencatan senjata segera dan menjamin penghantaran bantuan tanpa halangan kepada mereka yang amat memerlukan,” katanya.
Rejim zionis melancarkan serangan udara ke atas Iran sejak minggu lalu kerana mendakwa Iran sedang mempercepat program nuklear yang dianggap mengancam keselamatan serantau. – TVS