Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Foto hiasan AFP

Akaun Telegram Edisi Siasat tidak boleh lagi diakses

ByBernama

KUALA LUMPUR, 19 Jun: Saluran Telegram Edisi Siasat kini tidak dapat diakses oleh pengguna platform berkenaan sejak petang tadi.

Semakan Bernama mendapati satu peringatan dipaparkan di saluran itu bertulis ‘Tidak wujud, saluran ini tidak boleh dipapar kerana ia bertentangan dengan undang-undang Malaysia’, selain turut mendapati semua kandungan telah dipadam dipercayai disekat oleh pihak berkuasa.

Bagaimanapun pada 8 malam tadi pemeriksaan Bernama di platform berkenaan mendapati wujud satu akaun baharu menggunakan nama Edisi Siasat 2.0 dipercayai dibuat oleh pentadbir sama.

Terdahulu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengambil langkah tegas dengan memfailkan tindakan sivil terhadap dua saluran di platform Telegram, iaitu “Edisi Siasat” dan “Edisi Khas”.

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan tindakan itu merupakan yang pertama seumpamanya diambil terhadap penyedia platform media sosial, khususnya memandangkan Telegram merupakan pemegang lesen Perkhidmatan Aplikasi (Kelas) [ASP(C)].

“Ia susulan kegagalan serius Telegram untuk menangani kandungan yang telah berulang kali dilaporkan kepada pihak mereka, walaupun pelbagai usaha rundingan dan kerjasama telah dilakukan oleh MCMC,” menurut kenyataan itu.

Kedua-dua saluran berkenaan dikenal pasti menyebarkan kandungan yang melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang berpotensi menghakis kepercayaan terhadap institusi awam serta menjejaskan ketenteraman masyarakat.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan