JOHOR BAHRU, 18 Mei: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) masih menjalankan siasatan terhadap kes penyamaran sebagai Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) baru – baru ini.
Kumar memaklumkan, setakat ini beliau dimaklumkan masih tiada suspek dikenal pasti.
“Sehubungan itu saya ingin mengambil kesempatan untuk menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap penyamaran digital yang kini semakin canggih.
“Apa yang penting ialah jangan bertindak terburu-buru, semak dahulu kesahihan dengan individu sebenar sebelum membuat sebarang tindakan.
“Orang Malaysia memang baik hati, itu sebab ramai yang jadi mangsa (penipuan),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Pada Sabtu lalu, tular satu video dalam TikTok yang memaparkan individu menyerupai Kumar dan Polis Johor mengesahkannnya adalah palsu dan dimanipulasi menggunakan teknologi AI.
Kumar dilaporkan berkata, video berkenaan yang turut mengaitkan penerimaan bantuan kewangan daripada individu bernama ‘Datuk Abdul Malik’ adalah tidak benar.
Susulan itu kata beliau, satu laporan polis telah dibuat oleh pegawai unit media yang turut mengesahkan bahawa rakaman video tersebut bukan kenyataan rasmi Ketua Polis Johor. -TVS.