KUCHING, 18 Jun: Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM30 bilion untuk pembangunan pelbagai infrastruktur yang akan memberi manfaat besar kepada rakyat negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, daripada jumlah tersebut RM4.9 bilion diperuntukkan untuk pembinaan enam belas buah jambatan merangkumi empat daripadanya telah siap iaitu tiga sudah dirasmikan dan sebuah lagi bakal dirasmikan pada 19 Julai ini.
Menurut Uggah lapan jambatan lagi, termasuk jambatan terpanjang di Malaysia sepanjang 4.8 kilometer merentasi Sungai Sarawak, dijangka siap menjelang penghujung tahun ini.
Selain pembinaan jambatan, jaringan jalanraya pesisir pantai dan jalan utama kedua sedang dibangunkan bagi menghubungkan Kuching dengan beberapa kawasan pesisir pantai. Projek ini dijangka memendekkan jarak perjalanan berbanding sebelum ini.
“Bagaimana kita dapat mencapai ini ini kita dapat capai kerana kita mempunyai seorang pemimpin seperti yang saya sebut tadi berani tegas dan pandai mencari dana. Kesemua dana sebanyak RM 30 bilion termasuk termasuk jambatan tadi adalah dana dari negeri Sarawak sendiri,” katanya lagi.
Uggah berkata demikian pada Majlis Gawai AZAM Sarawak 2025 yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka pada malam Isnin.
Tambah beliau, sebanyak 137 inisiatif pembangunan ekonomi baru telah dirangka oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, sebagai bukti kepimpinan beliau yang berwawasan, berintegriti dan berani.
Sarawak kini berada di landasan tepat untuk mencapai status Negeri Maju mengikut Pelan Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030, dengan tiga inisiatif utama sudah menunjukkan hasil yang membanggakan.
“Satu, Wilayah Sarawak dijangka mencapai status wilayah berpendapatan tinggi lebih awal daripada sasaran tahun 2030. Kedua, pada tahun 2024, pendapatan Sarawak meningkat kepada RM14.1 bilion berbanding RM6.76 bilion pada tahun 2017.
“Tahun lalu, kita juga menyaksikan belanjawan negeri yang tertinggi dalam sejarah iaitu RM15.8 bilion,” ujarnya.
Turut hadir Timbalan Menteri Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Datuk Abdullah Saidol dan Pengerusi AZAM Sarawak, Datu William Patrick Nyigor. – TVS