KUCHING, 18 Jun: Cadangan kerajaan untuk merasionalisasi subsidi petrol RON95 terus mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat di wilayah ini kerana perihal subsidi petrol bukan sekadar isu ekonomi, tetapi berkait rapat soal keperluan asas harian yang memberi kesan langsung kepada kos sara hidup.
Ramai menyuarakan harapan agar subsidi ini dikekalkan atau disalurkan secara bersasar agar tidak membebankan rakyat, khasnya di luar bandar yang berpendapatan rendah dan mempunyai kurang akses kepada pengangkutan awam.
Tuai Rumah Panjang Kampung Rayu Iban, Chaya Langkop, 47, berkata, pemilik kenderaan dan penduduk lebih-lebih lagi mereka yang tinggal di luar bandar atau pedalaman amat memerlukan subsidi diesel ini kerana ia memainkan peranan penting dalam mengurangkan beban kewangan yang ditanggung.
“Saya berpendapat bahawa tempoh rasionalisasi subsidi ini perlu dilaksanakan secara berperingkat dalam jangka masa antara tiga hingga lima tahun, bergantung kepada kestabilan ekonomi, penerimaan rakyat serta keberkesanan sistem penyasaran subsidi, khasnya kepada kami yang di luar bandar yang punca pendapatan yang tidak tetap setiap bulan.
Subsidi ini banyak membantu kami, jadi harap-harap ia dapat diteruskan lagi,” katanya ketika ditemui TVS semasa tinjauan rasionalisasi subsidi petrol di Rumah Panjang Kampung Rayu Iban, Kuching pada Rabu.
Sementara suri rumah, Jintia Edwin, 30, pula mahukan kerajaan untuk mengutamakan keperluan rakyat yang memerlukan tetapi pada masa yang sama mahukan pelan yang memberikan situasi menang-menang kepada rakyat dan negara kerana beliau yakin ada kesan positif jangka panjang kepada langkah rasionalisasi subsidi petrol ini.
“Dalam konteks Sarawak yang luas dan mempunyai banyak kawasan luar bandar, akses kepada petrol yang mampu milik adalah sangat penting. Saya setuju jika rasionalisasi ini bukan bermaksud menarik balik bantuan, tetapi mengalihkannya secara lebih bersasar, supaya mereka yang betul-betul memerlukan tetap mendapat bantuan, mungkin dalam bentuk tunai atau subsidi khas. Ini penting untuk ketelusan, keadilan sosial dan kelestarian ekonomi negara,” katanya.
Bagi petani Richard Lukau, 51, beliau cuma mahu agar langkah rasionalisasi subsidi petrol ini tidak akan membebankan rakyat di Sarawak.
“Subsidi bersasar perlu empat ke enam tahun untuk dilaksanakan secara berperingkat kerana saya percaya kerajaan memerlukan masa itu untuk memperhaluskan mekanisme, dengar suara rakyat, dan pastikan tiada siapa yang tercicir, terutamanya rakyat Sarawak yang masih sangat memerlukan sokongan ini,” jelasnya.
Untuk rekod, pada pembentangan Belanjawan 2025 pada Oktober tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan mengumumkan bahawa kerajaan merancang melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun 2025.
Pendekatan yang masih berjalan di peringkat Jemaah Menteri bagi meneliti mekanisme terbaik untuk pelaksanaan menyeluruh dan adil kepada rakyat ini, diambil sebagai langkah awal sebelum pelaksanaan Cukai Karbon yang dijadualkan pada 2026, selain usaha mencapai sasaran jangka panjang untuk mencapai sifar bersih menerusi pendekatan pengoperasian serta ekonomi hijau menjelang tahun 2050.-TVS