SIMUNJAN, 18 Jun: Pesta Simunjan 2025 yang berlangsung dari 2 hingga 5 Oktober depan dijangka menarik kehadiran lebih 100,000 pengunjung dengan menyajikan lebih 20 acara pada edisi kelima ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris berkata inti pati pesta dwi-tahunan itu bakal merangkumi sukan, kebudayaan, hiburan dan kulinari tempatan.
“Pesta Simunjan berpotensi menyumbang kepada pembangunan ekonomi setempat serta memperkukuh perpaduan komuniti,” katanya pada ketika dihubungi TVS hari ini.
Menurut Awla, antara acara tumpuan ialah Pertandingan Regatta Pesta Simunjan yang akan berlangsung di tebingan Sungai Batang Sadong, melibatkan enam kategori perlumbaan.
“Hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM75,500, termasuk ganjaran utama RM20,000 untuk pemenang gelaran Raja Sungai Pesta Simunjan 2025,” katanya.
Sementara itu, beliau memberitahu program Bike Gathering turut dijangka menarik penyertaan dari luar negara seperti Brunei Darussalam dan Pontianak, Indonesia, selain dari Sabah, Kuching dan Samarahan.
“Brunei menghantar sekitar 100 peserta, manakala lebih 280 motosikal berkuasa tinggi akan tiba dari Pontianak. Ini menunjukkan pesta ini sudah menjadi acara berskala serantau,” jelas Awla.
Antara pengisian lain termasuk Showcase Muaythai (buat julung kali diadakan), pertandingan ratu, battle of the band, futsal terbuka, e-sukan, sukan rakyat, pertandingan masakan tradisional, Kek Legend & Bingka, persembahan pentarama, pertunjukan fesyen, aktiviti kanak-kanak serta Mini Karnival Kesihatan.
Majlis perasmian rasmi dijadual disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada 3 Oktober, manakala Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijangka hadir menyempurnakan majlis penangguhan pada 5 Oktober.
Kemuncak pesta ialah perlumbaan Bidar 30 Pekayuh Lelaki, diikuti Konsert Malam Penutupan di Pentas Rakyat yang akan menampilkan artis tempatan dan kebangsaan.
Awla turut menyeru orang ramai agar hadir beramai-ramai untuk memeriahkan sambutan kali ini, sambil menyifatkan pesta tersebut sebagai lambang kemajuan luar bandar yang berpaksikan nilai budaya dan penyertaan masyarakat.
Turut hadir dalam sidang media ialah Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang, dan Pegawai Daerah Simunjan, Sanuyah Mohamad.