KUCHING, 18 Jun: Perkhidmatan selama 25 tahun Margarita Naming dengan Pusat Biodiversiti Sarawak akhirnya diterjemahkan dengan penganugerahan Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak Pegawai Bintang Kenyalang (P.B.K.) yang dikurniakan kepadanya hari ini.
Ketua Penyelidikan dan Pembangunan Pusat Biodiversiti Sarawak itu teruja dan gembira kerana buat kali yang kedua telah diiktiraf sumbangannya kepada Sarawak.
“Saya rasa sangat teruja kerana diakui saya punya kerja dan sumbangan kepada negeri. Saya gembira saya boleh memberi sumbangan kepada Sarawak terutamanya mengenai apa yang kami lakukan di Pusat Biodiversiti Sarawak (SBC) yang menyumbang kepada komuniti dan kerja-kerja penyelidikan di peringkat negeri,” katanya ketika ditemui TVS pada Majlis Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Sarawak di sini, hari ini.
Kata Margarita, ini merupakan pengurniaan kedua diperoleh, pertama kali pada tahun 2016 dia telah dianugerahkan Pingat Pentadbiran Awam Pingat Perkhidmatan Bakti (P.P.B.).
Selain itu, katanya, objektif utama Pusat Biodiversiti Sarawak adalah memfokuskan kepada kepelbagaian biologi di Sarawak.
“Kita memang fokuskan kepada macam mana kita boleh majukan kita punya biodiversiti, kepelbagaian biologi di Sarawak ini. Oleh itu, kita harap kerjasama yang terjalin antara SBC dan komuniti dalam penyelidikan ini dapat memberi faedah kepada semua pihak,” katanya lagi. – TVS