BETONG, 18 Jun:Seorang lelaki berusia 24 tahun cedera ringan selepas kereta jenis Nissan Almera yang dipandunya terbabas di bahu jalan berhampiran simpang masuk ke Skuyat Lama di sini, pagi Rabu.
Menurut Komander Operasi, PBK I Abang Muhammad Fhazil Abang Abdul Manaf, seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999 pada jam 9.17 pagi.
“Pihak BBP Betong telah menerima maklumat awal berlakunya kemalangan melibatkan sebuah kenderaan Nissan Almera terbabas dibahu jalan berhampiran rumah panjang skuyat yang bergerak dari arah simpang layar ke pekan betong.
“Ketika sampai di lokasi didapati benar berlaku kemalangan dengan mangsa masih dalam keadaan sedar sebelum pihak bomba melakukan kerja menyelamat menggunakan teknik SAVER,” katanya ketika dihubungi TVS selepas Operasi Menyelamat Mangsa Kemalangan tamat.
Mangsa, Mohamad Yazid Apan dari Kampung Tanjong Assam, Spaoh diberikan rawatan awal sebelum dibawa ke Hospital Betong menggunakan jentera EMRS Bomba.
Ketika kejadian, cuaca dilaporkan baik dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.22 pagi selepas keadaan di lokasi didapati selamat untuk lalu lintas. -TVS