KUCHING, 18 Jun: Malaysia diyakini mampu muncul sebagai destinasi utama pelaburan tenaga bersih di rantau ASEAN hasil kejelasan dasar peralihan tenaga, kemampuan infrastruktur dan persekitaran pelaburan yang kondusif.
Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Mad Zaidi Mohd Karli berkata kekuatan dasar yang digariskan menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) serta sistem bekalan tenaga negara yang semakin moden menjadi pemacu utama dalam menarik minat pelabur asing ke negara ini.
“Malaysia mempunyai hala tuju dasar yang jelas, dengan sasaran mencapai 70 peratus kapasiti tenaga boleh baharu menjelang 2050.
“Ini menunjukkan komitmen kukuh negara dalam menerajui agenda peralihan tenaga secara mampan dan berkesan di peringkat serantau,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Tenaga ASEAN (SOME) ke-43 yang berlangsung di sini sempena siri konsultasi tenaga serantau membabitkan 10 negara anggota ASEAN, rakan dialog dan organisasi antarabangsa.
Mengulas lanjut, Mad Zaidi menjelaskan bahawa usaha menaik taraf sistem dan jaringan grid bekalan elektrik turut memberi kelebihan strategik kepada Malaysia dalam menerajui integrasi tenaga boleh baharu ke dalam sistem nasional dan serantau.
“Malaysia aktif melaksanakan integrasi sistem penyimpanan tenaga (BESS) serta digitalisasi grid, yang sangat penting untuk menyokong kestabilan bekalan tenaga boleh baharu. Ini adalah keupayaan teknikal yang membuka ruang kepada kerjasama serantau yang lebih kukuh,” ujarnya.
Beliau turut menyatakan bahawa persekitaran pelaburan negara yang stabil, mesra pelabur dan disokong oleh dasar fiskal serta infrastruktur perniagaan moden menjadikan Malaysia platform ideal bagi pelabur luar yang berminat dalam pembangunan tenaga bersih.
“Selain insentif yang ditawarkan, Malaysia juga mempunyai institusi sokongan yang kukuh bagi memudahkan kemasukan pelaburan asing dalam sektor ini,” tambahnya.