JOHOR BAHRU 18 Mei: Polis Johor mengaktifkan semula penugasan ‘omnipresence’ di lokasi tumpuan sekitar bandar raya ini menjelang Tahun Melawat Johor 2026.
Ketua polis negeri, Datuk M. Kumar berkata, penugasan bermula 14 Jun lalu dalam usaha memperkukuh persepsi masyarakat terhadap aspek keselamatan di sini.
Jelas beliau seramai 80 anggota ditugaskan di lokasi tumpuan pelancong terutamanya pada waktu puncak.
“Ia dilakukan dengan anggota terlibat berjalan, melawat premis serta berinteraksi dengan pengunjung dan peniaga untuk memberi gambaran bahawa Johor selamat untuk pelawat, pelabur serta peniaga,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.
Tambah beliau, penugasan rutin oleh Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan kereta peronda juga diteruskan seperti biasa.
Menurut Kumar, sejak dilancarkan, ia menerima reaksi positif masyarakat selain peniaga.
Mengulas lanjut, beliau berkata fasa pertama penugasan telah dilancarkan di Bangunan Sultan Iskandar (BSI.).
“Ia turut melibatkan Bazar Karat, Berjaya Waterfront, Southkey Mid Valley, Sentosa Pelangi dan Angsana Mall.
“Kawasan lain seperti Tampoi dan Johor Bahru Utara (JBU) turut akan dilibatkan pada masa akan datang,” katanya. -TVS.