KUCHING, 18 Jun: Kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini memainkan peranan signifikan dalam menerajui usaha memperkukuh dan mempercepat integrasi Grid Tenaga ASEAN (APG) dalam ekonomi dan masyarakat serantau.
Pengarah Jabatan Perhubungan Luar, Lembaga Pasaran Tenaga Singapura, Jonathan Goh berkata perbincangan yang dijalankan sepanjang Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Tenaga ASEAN (SOME) ke-43 membuktikan komitmen Malaysia dalam menyusun kerjasama pelbagai hala melibatkan pelbagai pihak berkepentingan.
“Saya berpendapat memorandum persefahaman (MoU) yang bakal ditandatangani akan mengukuhkan kerjasama sedia ada dan membentuk rangka kerja yang membolehkan usaha disusun secara teratur dari sudut teknikal, dasar dan peraturan,” katanya ketika ditemui TVS pada mesyuarat itu, di sini hari ini.
Beliau berkata, MoU APG yang dipertingkatkan turut membuka peluang untuk negara anggota bekerjasama dengan rakan dialog dan organisasi antarabangsa, bagi merebut manfaat grid serantau yang bersepadu.
Jonathan turut menyifatkan momentum pelaksanaan APG semakin kukuh sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan kejayaan paling signifikan adalah Projek Integrasi Kuasa Lao PDR–Thailand–Malaysia–Singapura (LTMS-PIP).
“Kejayaan projek ini membuktikan perdagangan kuasa rentas sempadan secara pelbagai hala bukan hanya boleh dibayangkan, tetapi boleh dilaksanakan,” ujarnya.
Katanya, LTMS-PIP menjadi pemangkin kepada lebih banyak perbincangan positif tentang pengembangan kerjasama tenaga serantau, termasuk cadangan Projek Integrasi Kuasa Brunei–Indonesia–Malaysia–Filipina (BIMP-PIP).
“Dengan lebih banyak projek seperti ini di seluruh ASEAN, kita yakin sedang bergerak ke arah masa depan tenaga yang benar-benar bersepadu,” katanya.