KUCHING, 18 Jun: Pelaksanaan Grid Tenaga ASEAN (APG) versi dipertingkatkan akan memberikan manfaat besar kepada kestabilan bekalan elektrik serantau, mengatasi sebarang kos dan risiko yang mungkin timbul dalam fasa pembangunannya.
Menurut Pengarah Eksekutif Majlis Tertinggi Pusat Tenaga ASEAN (ACE), Datuk Razib Dawood, penyambungan grid antara negara anggota ASEAN bukan sahaja mampu memperkukuh keterjaminan tenaga, malah menjadi penyelamat ketika berlaku gangguan bekalan di sesebuah negara.
“Dalam analisis kita, manfaat projek ini lebih besar daripada kos. Risiko pula boleh dikawal dengan pelan mitigasi dan teknologi terkini, termasuk bagi mencegah kesan domino yang boleh menyebabkan gangguan bekalan berskala besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui TVS sempena Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Tenaga ASEAN (SOME) ke-43, di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, antara manfaat utama yang dikenal pasti ialah keupayaan grid serantau untuk saling membantu ketika kecemasan dan memperkukuh kestabilan operasi sistem tenaga secara kolektif.
“Ketika berlaku gangguan bekalan di satu negara, grid serantau membolehkan negara jiran menyalurkan bekalan dengan pantas. Ini penting kerana tenaga ialah nadi kepada ekonomi,” ujarnya.
Dalam konteks ini, Sarawak dilihat sebagai penyumbang penting kepada kelestarian APG, khususnya melalui eksport tenaga hidro yang boleh diperbaharui.
“Sesetengah negara ASEAN masih bergantung kepada hidrokarbon dan gas asli. Sumbangan tenaga hidro dari Sarawak akan membantu mempelbagaikan campuran tenaga rantau ini dan mempercepatkan peralihan kepada sumber yang lebih bersih,” tambah beliau.
APG merupakan antara inisiatif utama di bawah Pelan Tindakan Kerjasama Tenaga ASEAN (APAEC) dan sedang dipacu pelaksanaannya sebagai asas keterjaminan tenaga jangka panjang di rantau ini. – TVS