SIBU, 18 Jun: Mahkamah Sesyen Sibu telah menjatuhkan hukuman ke atas dua orang tertuduh, iaitu Agustine dan Manto, kedua-dua warganegara Indonesia setelah mereka disabitkan bersalah di bawah Seksyen 90(1) Ordinan Hutan 2015 kerana mengumpul hasil hutan tanpa lesen yang sah.
Kesalahan tersebut melibatkan 372 batang kayu balak pelbagai saiz dan spesies yang dikumpul tanpa kebenaran sah di Kilometer 76, Jalan Sibu–Selangau pada 14 April 2025 manakala empat yang lain warganegara Malaysia masih dalam proses perbicaraan.
Mengikut pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Musyiri Peet, kedua-dua tertuduh telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 90(1) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 90(2) serta dibaca bersama Seksyen 79 Ordinan Hutan dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Hukuman yang dijatuhkan adalah denda sebanyak RM40,000 setiap seorang dan hukuman penjara selama 4 bulan, dengan tambahan 6 bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.
Selain itu, perintah tambahan di bawah Seksyen 91(2) Ordinan Hutan 2015, di mana setiap tertuduh diperintahkan membayar nilai hasil hutan sebanyak 10 kali ganda, iaitu sebanyak RM1,352,107.30 kepada Kerajaan Sarawak.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Justin Lau dan Pegawai Pendakwa, Adrian Markus Terang manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Tertuduh telah gagal menjelaskan denda yang dikenakan dan kini menjalani hukuman penjara di Penjara Pusat Sibu.
Jabatan Hutan Sarawak memandang serius terhadap sebarang aktiviti pembalakan haram dan pengumpulan hasil hutan tanpa kebenaran. Oleh itu, jabatan ini akan terus komited menjalankan siasatan, penguatkuasaan dan pendakwaan ke atas mana-mana individu atau syarikat yang melanggar undang-undang hutan di negeri ini.-TVS