KUALA LUMPUR, 18 Jun: Kementerian Kerja Raya (KKR) memerlukan peruntukan hampir RM4 bilion bagi menaik taraf jalan rosak di seluruh negara.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, meskipun peruntukan terhad namun kerja-kerja penyelenggaraan serta penambahbaikan tetap dijalankan mengikut keperluan.
Kata beliau, kekangan yang dihadapi ialah kementerian ialah tidak memiliki peruntukan penyelenggaraan secukupnya.
“Sehubungan itu kita buat penyelenggaraan secara berperingkat. Kita memiliki data dan tahu jalan yang berada dalam teruk. Sebab itu kita buat berdasarkan keutamaannya serta keperluan kritikal,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Majlis Rumah Terbuka Gawai di KKR di sini hari ini yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusuf dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Tambah Alexander Nanta, antara jalan yang dikategorikan sebagai kritikal ialah Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) yang menghubungkan Gerik, Perak ke Jeli, Kelantan.
“Sebab itu ada jalan yang rosak namun tidak begitu kritikal, kita kemudiankan (pembaikannya). JRTB termasuk dalam senarai jalan kritikal,” katanya lagi.
Beliau turut memaklumkan peruntukan sebanyak RM55 juta akan digunakan bagi menambah baik JRTB pada tahun ini yang melibatkan penambahan lampu jalan, kerja-kerja pembaikan jalan dan pemasangan garisan jalan.
“Ini termasuk pemasangan sebanyak 385 lampu jalan dan garisan jalan dengan pelaksanaan bermula sekarang hingga hujung tahun,” katanya lagi. -TVS.