KUCHING, 18 Jun: Kestabilan politik serta sikap toleransi tinggi dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama di Sarawak menjadi faktor utama yang membolehkan semua perayaan disambut secara bersama dan harmoni di negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata keadaan politik yang stabil hari ini adalah hasil kepimpinan bijaksana Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang berjaya memacu pembangunan negeri bukan sahaja dari segi ekonomi tetapi juga dari sudut sosio-politik.
Justeru, beliau menyeru agar rakyat Sarawak, khususnya masyarakat Dayak, terus memberikan sokongan padu kepada Premier Sarawak bagi memastikan kestabilan politik yang dinikmati ketika ini dapat dikekalkan.
“Kita adalah sebuah wilayah yang menjadi contoh kepada negeri lain di Malaysia kerana perpaduan erat antara masyarakat pelbagai kaum dan agama. Perkara ini sering menjadi kekaguman rakyat di tempat lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Gawai AZAM Sarawak 2025 yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini, malam Isnin.
Douglas turut menggesa masyarakat Iban agar terus bersatu hati dan bekerjasama dalam memberi sokongan kepada kepimpinan sedia ada demi kemajuan Sarawak.
“Saya menyeru kepada semua, marilah kita bekerjasama, bersatu hati, dan sebagai orang Iban, beri sokongan penuh kepada Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg supaya Sarawak terus melangkah ke era yang lebih gemilang,” ujarnya.
Mengulas mengenai tema ‘Begawai Chara Kitai’ (Gawai Cara Kita) bagi sambutan Gawai AZAM tahun ini, beliau berkata tema tersebut mencerminkan semangat perpaduan antara kaum yang menjadi identiti Sarawak.
“Saya bersama Datuk Abdullah Saidol telah menghadiri beberapa sambutan Gawai pada Mei dan Jun lalu, dan kita dapat lihat perayaan Gawai diraikan oleh semua kaum, bangsa dan agama. Inilah keunikan Sarawak,” katanya.
Sambutan Gawai peringkat negeri dilaksanakan secara penggiliran antara kaum-kaum Dayak. Tahun ini, kaum Orang Ulu dipilih sebagai penganjur, selepas kaum Bidayuh menjadi tuan rumah pada tahun sebelumnya.
Matlamat penggiliran ini adalah bagi memberi peluang kepada setiap kaum Dayak di Sarawak menonjolkan warisan budaya, acara tradisional dan makanan etnik masing-masing. – TVS