KUCHING, 18 Jun: Sebuah kediaman dua tingkat di Kampung Sungai Apong Baru di sini musnah kira-kira 60 peratus akibat kebakaran malam tadi ketika penghuninya tiada di rumah.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, kebakaran berlaku pada jam 9.53 malam dan operasi pemadaman berjaya dikawal pada 10.17 malam sebelum sepenuhnya tamat pada 10.30 malam.
Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya bersama bantuan BBP Padungan telah menggunakan dua aliran pam air serta sumber air dari pili bomba berhampiran bagi memadamkan api.
Seramai 16 anggota terlibat dalam operasi tersebut yang diketuai oleh PBK I Said Muhammad Imran Sahul Hamid.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana pemilik rumah tidak berada di lokasi ketika kejadian. Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut hadir bagi membantu mengawal keadaan di lokasi. – TVS