Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Seramai 187 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) berjaya ditahan dalam tiga operasi serbuan berasingan di Inanam, Luyang dan Telipok oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), awal pagi tadi. Foto JIM Sabah

JIM Sabah serbu tiga perumahan setinggan, tahan 187 PATI

KOTA KINABALU, 18 Jun: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah berjaya menahan seramai 187 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam tiga operasi serbuan berasingan di Inanam, Luyang dan Telipok awal pagi tadi.

Operasi bermula jam 1 pagi itu, menumpukan dua kawasan setinggan selain satu kawasan pembinaan terbengkalai yang kini menjadi penempatan setinggan.

Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, operasi secara serentak di tiga kawasan itu melibatkan kekuatan 108 anggota dan pegawai.

Katanya, sepanjang serbuan dilaksanakan, seramai 260 individu diperiksa dan 187 ditahan selepas disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen.

“Dalam operasi ini, JIM berjaya menahan 85 individiu iaitu 41 lelaki dan 43 wanita warga Filipina serta seorang lelaki warga Indonesia.

“Selain itu, pasukan operasi turut menahan 102 kanak-kanak berusia lingkungan setahun hingga 10 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan awal, kebanyakan PATI mendakwa berasal dari Zamboanga dan masuk menggunakan jalan-jalan tikus selain terpaksa singgah di beberapa pulau sekitar sebelum sampai ke negara ini.

Katanya, semua tahanan akan ditempatkan di Depot Imigresen Kota Kinabalu dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Sementara itu, SH Sitti Saleha berkata, semasa serbuan dan pemeriksaan, berlaku beberapa insiden pergelutan apabila beberapa PATI cuba melarikan diri.

Bagaimanapun katanya, pasukan operasi berjaya mengawal keadaan dan tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku.

Sehubungan itu, SH Sitti Saleha mengingatkan orang ramai khususnya majikan supaya tidak melindungi PATI dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung PATI boleh menyalurkan infomasi kepada JIM untuk tindakan penguatkuasaan segera.

“Sepanjang tahun ini, sebanyak 765 operasi sudah dilaksanakan dan seramai 15,092 individu telah diperiksa.

“Daripada jumlah itu, 2,777 PATI berjaya ditahan dan 56 majikan turut didakwa,” katanya.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan