JAKARTA, 18 Jun: Gunung Lewotobi Laki-laki yang terletak di Flores Timur, Nusa Tenggara Timur kembali meletus pada petang Selasa sekitar jam 5.35 petang waktu tempatan.
Letusan kali ini disertai dengan awan panas yang merebak ke seluruh kawasan sekitar gunung, dengan kolom abu dilaporkan mencapai ketinggian lebih 10 kilometer.
Menurut jurucakap Badan Pengurusan Bencana Indonesia, Abdul Muhari, berdasarkan maklumat daripada pasukan reaksi cepat di lapangan,keadaan di sekitar gunung masih sukar untuk diakses berikutan hujan abu yang berterusan.
“Setakat ini, kawasan tersebut dilaporkan gelap akibat hujan abu dan kerikil yang menyukarkan pergerakan petugas bagi mengenal pasti kesan letusan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa hujan pasir dilaporkan berlaku di beberapa kampung berhampiran dan sebahagian penduduk telah berpindah ke pusat pemindahan sementara sebagai langkah berjaga-jaga terhadap ancaman letusan susulan.
Penduduk juga dilarang melakukan sebarang aktiviti dalam radius lapan kilometer dari kawah gunung.
Sementara itu, Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) Indonesia telah menaikkan status Gunung Lewotobi Laki-laki ke Tahap IV (Awas), iaitu tahap amaran tertinggi.
Letusan ini dikategorikan antara yang terbesar setakat tahun 2025 dan berdasarkan pemantauan alat seismik, aktiviti tremor masih dikesan, menunjukkan bahawa aktiviti gunung berapi masih berterusan dan berpotensi meletus semula.
Masyarakat dinasihatkan supaya melindungi diri daripada abu gunung berapi dengan menggunakan pelitup muka atau kain basah, serta mengelakkan kawasan aliran sungai bagi mengurangkan risiko banjir lahar sekiranya berlaku hujan lebat. – TVS