Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Malaysia terus memantapkan peranannya dalam landskap tenaga serantau apabila berjaya menganjurkan enam mesyuarat berprofil tinggi sempena SOME ke-43. Foto Mohamad Gustie Noorambia (TVS)

Enam konsultasi tenaga dijalankan, ASEAN kukuh kerjasama serantau

BySaibi Gi

KUCHING, 18 Jun: Malaysia terus memantapkan peranannya dalam landskap tenaga serantau apabila berjaya menganjurkan enam mesyuarat berprofil tinggi sempena Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Tenaga ASEAN (SOME) ke-43 di sini, semalam.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memaklumkan, siri konsultasi itu menghimpunkan wakil negara anggota ASEAN, rakan dialog seperti Jepun, Amerika Syarikat, China dan Rusia serta agensi tenaga antarabangsa termasuk Bank Pembangunan Asia (ADB), Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) dan Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa (IRENA).

“Mesyuarat ini mencerminkan komitmen Malaysia selaku Pengerusi SOME 2025 dalam menerajui kerjasama tenaga serantau yang lebih strategik, sejajar dengan Pelan Tindakan Kerjasama Tenaga ASEAN (APAEC) Fasa II (2021–2025),” menurut kenyataan itu.

Antara hasil utama termasuk pelancaran projek statistik tenaga ASEAN–Rusia, peluasan kerjasama tenaga boleh baharu dengan Amerika Syarikat, serta pembentangan kerangka peralihan tenaga oleh IEA dan IRENA.

PETRA memaklumkan, Konsultasi SOME–METI Jepun menilai semula projek sedia ada di bawah ASEAN–Japan Energy Efficiency Partnership (AJEEP), selain meneroka pembangunan kerangka APAEC 2026–2030.

“Dialog bersama ADB pula menekankan pembangunan Grid Tenaga ASEAN melalui pembiayaan inovatif dan infrastruktur mampan,” kata PETRA.

Bagi konsultasi SOME–Rusia, mesyuarat menyaksikan pelancaran projek ASEAN–Russia Capacity Building on Energy Statistics (ARCS) dan permulaan rundingan pelan baharu 2026–2028.

Sementara itu, konsultasi SOME–Amerika Syarikat memberi fokus kepada agenda penyahkarbonan, tenaga boleh baharu, keselamatan tenaga dan pembangunan infrastruktur LNG serantau.

Dalam dialog bersama IEA dan IRENA, kedua-dua agensi antarabangsa berkongsi maklumat terkini mengenai prospek tenaga ASEAN serta tren global tenaga boleh baharu.

“Penyertaan aktif rakan antarabangsa membuktikan keyakinan terhadap keupayaan ASEAN, dengan Malaysia terus berperanan sebagai peneraju dalam memacu peralihan tenaga rantau ini,” jelas PETRA.

Mesyuarat dan konsultasi ini diadakan sempena SOME ke-43 yang berlangsung dari 16 hingga 18 Jun di Kuching.

Tags: ASEAN, PETRA, some

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan