KUCHING, 18 Jun: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) buat julung kalinya akan menganjurkan DBKU Mayor’s Run 2025 pada 3 Ogos depan bersempena sambutan Hari Bandaraya Kuching ke-37.
Larian amal tersebut dianjurkan dengan kerjasama Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI), Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Sarawak (MAKSAK), City Jogger’s Club (CJC) dan R.S Management and Transport Services.
Menurut DBKU dalam kenyataan hari ini, Mayor’s Run 2025 bukan sekadar acara kecergasan tetapi platform menyumbang kepada masyarakat, apabila kutipan penyertaan akan disalurkan sepenuhnya kepada Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMCH).
“Setiap sumbangan yang dikumpulkan melalui penyertaan larian ini akan disalurkan kepada Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMCH), sebagai sokongan kepada usaha mereka membantu kanak-kanak dan keluarga yang memerlukan,” jelas DBKU dalam kenyataan.
Program tersebut juga memberi impak kepada empat Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu Kesihatan Baik dan Kesejahteraan (SDG 3), Bandar dan Komuniti Mampan (SDG 11), Tindakan terhadap Perubahan Iklim (SDG 13) serta Menjalin Kerjasama untuk Mencapai Matlamat (SDG 17).
“Impak kepada SDG ini amat penting bagi memastikan pencapaian sasarannya yang ditetapkan oleh United Nations pada 2015 untuk dicapai menjelang 2030,” jelas DBKU lagi.
Dalam pada itu, tiga kategori dipertandingkan iaitu 3KM Fun Walk, 7KM Fun Run dan 16KM Competitive Run dengan hadiah wang tunai sehingga RM1,500 untuk juara 16KM.
Setakat ini, 1,500 penyertaan berjaya dikumpul dan ia sekali gus melebihi sasaran awal 1,000 peserta.
Setiap peserta akan menerima T-shirt dan medal, manakala pemenang tempat pertama hingga ke-20 kategori kompetitif akan membawa pulang hadiah wang tunai.
Untuk keterangan lanjut serta pendaftaran, layari laman web rasmi DBKU atau imbas kod QR yang disediakan. – TVS