KUALA LUMPUR, 18 Jun: Kumpulan AFFIN sekali lagi menerima pengiktirafan antarabangsa selepas tersenarai buat tahun kedua berturut-turut dalam Fortune Southeast Asia 500, mengukuhkan kedudukannya sebagai antara syarikat terkemuka di rantau ini.
Senarai Fortune Southeast Asia 500 edisi 2025 melibatkan syarikat-syarikat dari tujuh negara termasuk Malaysia menyenaraikan mereka berdasarkan prestasi pendapatan, keuntungan, kekuatan kunci kira-kira dan jumlah tenaga kerja.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AFFIN, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, pengiktirafan ini mencerminkan kedudukan kukuh AFFIN dalam menghadapi perubahan landskap kewangan yang pantas.
“Penyertaan kami dalam senarai Fortune Southeast Asia 500 untuk tahun kedua berturut-turut mencerminkan kekuatan dan kepentingan AFFIN yang semakin meningkat. Ia menunjukkan bahawa kami bukan sahaja bergerak seiring, malah sedang mara ke hadapan dengan cita-cita dan strategi yang jelas,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Tambah beliau, pencapaian ini bertepatan dengan sambutan ulang tahun ke-50 Kumpulan yang bertemakan ‘Always About You’, menandakan komitmen berterusan terhadap penciptaan nilai jangka panjang untuk pelanggan, pelabur dan komuniti.
“Dipandu oleh Pelan AFFIN Axelerate 2028 (AX28), kami terus melangkah maju dengan tujuan yang jelas, memperkukuh kerjasama dengan pelanggan, membuka peluang pertumbuhan baharu dan memberi impak di mana ia paling bermakna,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa AFFIN mencatat satu lagi pencapaian penting tahun ini apabila memperoleh penarafan kredit antarabangsa sulung A3 (stabil) daripada Moody’s Investors Service, selain berjaya membuat penampilan sulung dalam pasaran bon USD dengan langganan berlebihan 3.5 kali daripada lebih 67 pelabur global.
Pencapaian ini mencerminkan keyakinan pelabur yang kukuh dan mengesahkan kredibiliti AFFIN yang semakin diiktiraf di pasaran serantau dan antarabangsa.- TVS