KUCHING, 17 Jun: Sarawak menyasarkan untuk menjadi hab kulinari dan budaya antarabangsa menerusi penganjuran World National Tapas and World Asia Tapas Competition Exhibition and Seminar 2025 yang kini dirancang untuk diperluas ke seluruh negeri.
Pengerusi Penganjur, Sim Ling Ling berkata, penganjuran acara ini ke Bahagian lain seperti Miri, Bintulu dan Limbang bertujuan melibatkan lebih ramai komuniti tempatan serta memperkukuh pengaruh Sarawak dalam peta kulinari Asia.
“Kami mahu bukan hanya Kuching, tetapi seluruh Sarawak merasai manfaat acara antarabangsa ini. Matlamat kami adalah menjadikan Sarawak sebagai platform penting dalam mengangkat bakat kulinari Asia ke peringkat dunia,” katanya selepas majlis perasmian acara tersebut di Kuching, pada Selasa.
Beliau turut menyatakan hasrat untuk menjadikan acara ini sebagai program tahunan berskala lebih besar, sambil menarik lebih banyak penyertaan negara Asia pada masa akan datang.
Daripada 13 negara yang menyertai tahun ini, Sim memberitahu pihaknya menyasarkan lebih banyak penyertaan serantau pada edisi seterusnya.
Sim juga melihat potensi kerjasama lebih luas bersama Valladolid, Sepanyol yang merupakan tuan rumah pertandingan akhir peringkat dunia yang bukan sahaja dalam bidang kulinari tetapi juga industri kreatif seperti filem.
“Valladolid ialah bandar filem kreatif UNESCO dan telah menganjurkan anugerah filem selama lebih 60 tahun. Ini peluang besar untuk Sarawak teroka sinergi dalam pelancongan, jenama bandar dan acara budaya,” jelasnya.
Tambahnya, Sarawak kekal sebagai lokasi pusingan kelayakan Asia dan beliau berharap akan ada wakil dari Sarawak yang berjaya merebut satu daripada tiga tempat untuk bersaing di Valladolid pada November ini. -TVS