KUCHING, 17 Jun: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) memulakan kerja-kerja naik taraf di Ruang Terbuka Lorong F, Taman BDC bermula hari ini, selaras dengan komitmen untuk mewujudkan ruang bandar yang lebih inklusif, selamat dan mesra pengguna bagi kanak-kanak, warga emas dan penduduk Kuching Selatan secara keseluruhan.
Datuk Bandarnya, Dato Wee Hong Seng berkata, projek tersebut merupakan sebahagian daripada sokongan MBKS terhadap Inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak (CFCI) dan matlamat menjadikan Kuching Selatan sebagai Bandar Mesra Warga Emas.
“Taman ini telah lama berkhidmat kepada komuniti BDC, dan menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan ia terus berkembang mengikut keperluan golongan kanak-kanak dan warga emas. Sebuah taman yang selamat, hijau dan inklusif mencerminkan keprihatinan sebuah bandar terhadap rakyatnya,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan MBKS hari ini.
Terdahulu, Hong Seng turut hadir menyempurnakan majlis penyerahan tapak rasmi kepada kontraktor yang akan melaksanakan projek tersebut.
Naik taraf yang dilaksanakan merangkumi pembinaan balai masuk dan papan tanda baharu, laluan pejalan kaki yang lebih selesa, pemasangan set permainan moden untuk kanak-kanak, peralatan senaman luar untuk warga emas serta penanaman pokok dan pokok renek bagi memperindah kawasan taman.
Projek ini dijadualkan siap dalam tempoh 16 minggu, iaitu pada 29 September 2025.
Dalam pada itu, Hong Seng menyifatkan ruang awam seperti taman sedemikian memainkan peranan penting dalam membina komuniti yang sihat dan bersatu, di samping menyumbang kepada kelestarian bandar.
“Penambahbaikan ini diharap dapat menjadikan taman ini lebih menarik, mudah diakses dan digunakan oleh semua lapisan masyarakat,” tambahnya. – TVS