BETONG, 17 Jun: Kontinjen Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saratok komited mengekalkan rekod cemerlang seterusnya mempertahankan kejuaraan mereka dalam Kejohanan Majlis Sukan Sekolah (MSS) Bahagian Betong pada edisi ke-21 kali ini.
Ketua Jurulatih SMK Saratok, Mohd Faiz Farhan Massor berkata, bagaimanapun ia bukanlah satu tugas mudah untuk mempertahankan kejuaraan kerana saingan yang sengit sudah pastinya terpaksa mereka tempuhi disepanjang kejohanan berlangsung.
“Selain sasaran lain, kita sememangnya berhajat untuk mengekalkan kejuaraan yang kita kecapi pada edisi lepas dalam kejohanan kali ini.
“Selain itu, saya menyedari ianya bukanlah sesuatu yang mudah memandangkan pasukan lain turut hadir dengan kebolehan masing-masing terutama tuan rumah SMK Saribas yang ternyata memiliki kelebihan dari segi sorakan penyokong,” katanya.
Bagi Ketua Jurulatih SMK Saint Augustine berkata, adalah memadai sekiranya kedudukan selaku Naib Johan masih mampu dipertahankan oleh pasukannya kali memandangkan sekolah beliau berdepan dengan masalah kekurangan atlet sebelum kejohanan bermula.
“Hasrat dan keinginan untuk merampas kembali kejuaraan daripada penyandang sebelum ini tetap ada. Tetapi kami harus berpijak dibumi nyata kerana kekurangan atlet untuk kejohanan kali ini.
“Namun begitu, saya dan rakan dalam pasukan yang lain tetap optimis bahawa atlet kami tetap mampu menghadirkan saingan sengit kepada pesaing kami sepanjang tempoh kejohanan yang berlangsung sehingga Jumaat ini,” ujarnya.
Manakala, Ketua Jurulatih SMK Datuk Patinggi Kedit Betong yang berada ditempat ketiga pada kejohanan yang lepas menegaskan penambahan jumlah kutipan pingat merupakan sasaran utama mereka pada kali ini.
“Mungkin agak tidak realistik sekiranya meletakkan harapan terlalu tinggi kerana kontinjen dati sekolah lain juga hebat.
“Jadi pada kali ini, kita sasarkan agar ada penambahan pingat berbanding sebelum ini,” katanya.
Ketiga-tiga mereka berkata demikian ketika ditemu bual TVS pada hari ketiga Kejohanan MSA Bahagian Betong Kali Ke-21 yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam di Kompleks Sukan Betong pada Selasa.-TVS