SIBU, 17 Jun: Lebih 2,000 peserta tempatan dan luar negara bakal berhimpun di Sibu bagi menyertai Sibu Esports Festival (SIESF) 2025 pada 27 hingga 29 Jun ini di Stadium Tertutup Sibu, menjadikannya antara acara e-sukan terbesar di Wilayah Tengah Sarawak.
Penganjuran kali ini bukan sahaja menampilkan empat kejohanan utama e-sukan, tetapi turut disertai pelbagai acara sokongan seperti lari amal, pameran kerjaya dan pendidikan TVET, karnival keusahawanan, serta perhimpunan permotoran Paradise Motorsport Gathering, sekali gus mempamerkan pendekatan holistik dalam pembangunan sukan dan komuniti belia.
Menurut Penyelaras Program, Haider Kowel Bete, penyertaan melibatkan pasukan dari Semenanjung Malaysia, Indonesia, Brunei dan Thailand sekali gus mencerminkan peranan Sibu sebagai destinasi utama e-sukan di Borneo.
“Festival ini menawarkan beberapa kategori pertandingan utama iaitu PUBG Mobile, Mobile Legends: Bang Bang, Efootball Mobile dan Efootball Console,” katanya semasa sidang media SIESF 2025 di Bilik Mesyuarat Pejabat Residen Sibu hari ini.
Jelasnya, kategori PUBG Mobile menerima penyertaan maksimum sebanyak 256 skuad dan kini telah penuh dan kategori Mobile Legends: Bang Bang, sebanyak 81 skuad telah mendaftar.
“Manakala Efootball Mobile dan Efootball Console masing-masing mencatatkan penyertaan sebanyak 91 dan 27 peserta. Penyertaan bagi kategori lain masih dibuka kecuali PUBG Mobile,” tambahnya.
Katanya lagi, sebanyak RM50,000 nilai hadiah keseluruhan ditawarkan pada edisi kali ini dimana RM25,000 bagi kategori PUBG Mobile, RM15,000 bagi Mobile Legends: Bang Bang, dan RM5,000 masing-masing untuk kategori Efootball Mobile dan Efootball Console.
Selain pertandingan e-sukan, pelbagai acara sampingan turut dijadualkan berlangsung sepanjang tiga hari program tersebut seperti Byte Odyssey Run sejauh 5 kilometer yang akan berlangsung pada 28 Jun di lokasi yang sama.
“Penyertaan untuk larian ini masih dibuka dan borang boleh didapati melalui laman Facebook Persatuan Sukan Elektronik Bahagian Sibu. Hadiah wang tunai serta cabutan bertuah berupa peralatan sukan turut ditawarkan kepada para peserta,” tambahnya lagi.
Festival ini juga akan menampilkan Pameran Kerjaya dan TVET, serta Karnival Usahawan Sibu yang melibatkan penyertaan 25 usahawan tempatan yang akan menjual pelbagai jenis makanan dan minuman.
Selain itu, acara permotoran, Paradise Motorsport Gathering, turut dianjurkan pada petang 28 Jun dijangka menarik penyertaan kira-kira 1,000 jentera dua roda dari seluruh Sarawak.
“Kemuncak festival adalah Konsert Hiburan pada malam 28 Jun yang akan menampilkan persembahan artis-artis terkenal tempatan dan Semenanjung Malaysia, termasuk Kecik Hyper Act, Ijam Majid dan lain-lain,” jelas beliau.
Majlis Perasmian SIESF 2025 dijangka disempurnakan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada 27 Jun 2025 manakal Majlis Penangguhan dan Penyampaian Hadiah akan disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato Sri Tiong King Sing pada 29 Jun.-TVS