Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) menggesa kerajaan untuk menangguhkan pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ke atas sektor pembinaan, yang dijadual bermula 1 Julai 2025, atas kebimbangan ia bakal menjejaskan kestabilan pasaran hartanah di negeri ini.

SHEDA gesa tangguh SST kawal kenaikan harga rumah

ByRegina Lee

KUCHING, 17 Jun: Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) menggesa kerajaan menangguhkan pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ke atas sektor pembinaan yang dijadual bermula 1 Julai 2025 berikutan kebimbangan cukai itu akan menjejaskan kestabilan pasaran hartanah di Sarawak.

Presiden SHEDA, Augustine C.H. Wong, berkata pemaju kini sudah menghadapi kos tinggi akibat pelaksanaan dasar baharu seperti e-invois, Pendekatan Transformasi Pekerja Asing (FWTA), dan levi bagi pengganti pembinaan perumahan sosial.

“Dengan kos bahan binaan yang sudah meningkat antara 20 hingga 30 peratus sebelum SST, gabungan SST serta faedah berganda akan menaikkan harga jualan hartanah ke tahap yang tidak lagi mampu milik atau mampan untuk pasaran.

“Ini sekali gus memberi tekanan besar kepada isi rumah kumpulan M40 dan B40,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Wong, SHEDA turut menekankan keperluan memastikan tiada percukaian berganda berlaku sepanjang rantaian bekalan dalam industri pembinaan, daripada pemaju kepada sub-kontraktor.

Mengulas kenyataan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan baru-baru ini, beliau mengalu-alukan jaminan bahawa hartanah kediaman, termasuk pangsapuri servis untuk tujuan kediaman, akan dikecualikan daripada SST.

Namun katanya, SHEDA masih menunggu penjelasan lanjut mengenai formula pengiraan cukai tersebut, terutamanya bagi projek bercampur yang mengandungi elemen kediaman, komersial dan kawasan kemudahan bersama.

“Kami berpandangan bahawa SST tidak wajar dikenakan secara menyeluruh ke atas projek seperti ini. Hanya komponen komersial sepatutnya dikenakan cukai, manakala komponen kediaman harus kekal dikecualikan,” tegasnya.

Menurut Wong, SHEDA turut meminta garis panduan yang jelas bagi mengatur pengiraan cukai tersebut kerana ia juga akan memberi kesan kepada sektor pengurusan hartanah.

“Sehingga jaminan yang mencukupi diberikan, pelaksanaan SST seperti yang dicadangkan berisiko menimbulkan ketidaksamarataan dalam kalangan pelbagai pihak berkepentingan,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan