KUCHING, 17 Jun: Kejayaan Sarawak dalam pembangunan tenaga boleh baharu terus menjadi rujukan dan contoh terbaik dalam kalangan negara anggota ASEAN, termasuk di peringkat nasional dan antarabangsa.
Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Mad Zaidi Mohd Karli berkata pencapaian Sarawak amat membanggakan dan seharusnya disokong sepenuhnya.
“Ketika ini pun Sarawak sudah mengeksport tenaga ke Kalimantan. Ini menjadi titik permulaan penting untuk memperkukuh jaringan Grid Tenaga ASEAN (APG), khususnya di jalur BIMP iaitu membabitkan Sarawak, Brunei dan Filipina.
“Ini juga antara projek yang telah digariskan dalam inisiatif APG,” katanya kepada media selepas mempengerusikan hari kedua Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN Mengenai Tenaga (SOME) ke-43 di sini, hari ini.
Beliau berkata, Sarawak cukup dikenali dalam kalangan negara anggota ASEAN kerana berani mengambil langkah proaktif mengeksport tenaga ke negara jiran.
Katanya, kelebihan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya menerusi pelaksanaan APG yang bakal mengukuhkan integrasi tenaga serantau.
SOME ke-43 yang berlangsung dari 16 hingga 18 Jun ini menghimpunkan pegawai kanan tenaga dari 10 negara anggota ASEAN iaitu Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Lao PDR, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam, manakala Timor-Leste hadir sebagai pemerhati.
Mesyuarat anjuran PETRA itu bertujuan menyelaras dasar tenaga serantau di peringkat pegawai kanan dengan menilai kemajuan Pelan Tindakan Kerjasama Tenaga ASEAN (APAEC), selain merangka keputusan utama menjelang Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) ke-43 yang dijadualkan pada Oktober ini.
Turut serta dalam mesyuarat ialah wakil pelbagai organisasi antarabangsa termasuk Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa (IRENA), Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), Institut Penyelidikan Ekonomi untuk ASEAN dan Asia Timur (ERIA), Bank Pembangunan Asia (ADB) dan Bank Dunia. – TVS