BINTULU, 17 Jun: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari ketiga hari ini namun masih gagal mengesan seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas keluar mencari katak di kawasan hutan berhampiran Rumah Panjang Puyu sejak Sabtu lalu.
Mangsa dikenali sebagai Rudy Ranggau, 36 tahun, dipercayai keluar dari rumah sekitar jam 5 pagi menuju ke kawasan Sungai Asau dan Sungai Puyu yang terletak di belakang rumah panjang berkenaan.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, operasi SAR pada Selasa dimulakan pada jam 10.15 pagi menggunakan kaedah Land, Air, Stream Technique (L.A.S.T) serta bantuan unit anjing pengesan (K9).
“Pencarian dijalankan di sektor A, B, D dan F sejauh 1.7 kilometer dari Pos Kawalan Bomba (PKB). Kawasan sekitar 2.4 kilometer dari PKB yang sering dikunjungi mangsa untuk memancing turut dijadikan fokus pencarian,” menurut kenyataan JBPM.
Bagaimanapun, sehingga jam 5.05 petang, mangsa masih belum berjaya ditemui dan operasi ditangguhkan atas arahan pihak polis. Operasi SAR dijadual disambung semula pada Rabu.
Misi pencarian ini melibatkan tiga anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu bersama satu jentera pacuan empat roda. Operasi turut dibantu sembilan anggota polis termasuk unit K9, lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta sembilan penduduk kampung.