Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Seorang remaja lelaki diperintahkan ke Sekolah Henry Gurney sehingga usia 21 tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam atas dua pertuduhan menyebabkan kematian lima individu dalam kemalangan ngeri di Jalan Stutong Baru, di sini, Januari lalu. Foto Suara Sarawak

Remaja kemalangan akibatkan 5 maut di Jalan Stutong Baru diperintah ke Sekolah Henry Gurney

BySuara Sarawak

KUCHING, 17 Jun: Seorang remaja lelaki diperintahkan ke Sekolah Henry Gurney sehingga usia 21 tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam atas dua pertuduhan menyebabkan kematian lima individu dalam kemalangan ngeri di Jalan Stutong Baru, Januari lalu.

Majlistret Ling Hui Chuan memerintahkan demikian selepas pendengaran laporan akhlak tertuduh berusia 15 tahun itu dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hari ini.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, dia didakwa di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama, kerana memandu di jalan raya secara melulu hingga menyebabkan kematian lima individu berusia 16 tahun hingga 42 tahun.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak melebihi RM50,000.

Manakala pertuduhan pindaan kedua, dia didakwa di bawah Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39(5) Akta yang sama, kerana memandu kereta di bawah umur 16 tahun menggunakan kenderaan jenis sedan iaitu Proton Saga.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Kedua-dua kesalahan itu, dilakukannya di Jalan Stutong Baru, sekitar jam 1.10 petang, 14 Januari lepas.

Mahkamah memerintah tertuduh dihantar ke Sekolah Henry Gurney sehingga usia 21 tahun bagi pertuduhan pindaan pertama.

Manakala, pertuduhan kedua, dia dijatuhi hukuman denda RM1,500 atau penjara dua bulan jika gagal membayar denda.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fadzri Azham Zainudin dalam prosiding semalam, memohon agar tertuduh dikenakan hukuman berat kerana perlu mengambil kira berat kesalahan, kepentingan awam, dan kehilangan lima nyawa.

Selain itu, Mohd Fadzri dalam hujahnya menegaskan bahawa tertuduh tidak menunjukkan sebarang penyesalan atas kesalahan yang dilakukan dan, adalah penting hukuman berat menjadi mesej kepada orang awam supaya tidak melakukan kesalahan yang sama.

Beliau juga memberitahu, kemalangan yang hampir sama berlaku di Kuching adalah sangat tinggi. Manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, bapa kepada pesalah kanak-kanak terbabit dijatuhi hukuman denda RM15,000 atau penjara 12 bulan kerana cuai dalam mengawas anaknya hingga menyebabkan kematian lima individu dalam insiden terbabit.

Lawan Akie Suma, 35, bekerja sebagai buruh kasar mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 33(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah Nuraini Ahmad.

Dia melakukan kesalahan itu pada hari yang sama kejadian kemalangan yang dilakukan oleh anak tertuduh.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani khidmat masyarakat selama 100 jam dan perlu dilaksanakan dalam tempoh empat bulan mengikut Seksyen 33 (2) Akta Kanak-Kanak 2001.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan