KUALA LUMPUR, 17 Jun: Kementerian Luar menasihatkan rakyat Malaysia di Iran supaya segera meninggalkan negara itu susulan situasi perang yang semakin meruncing.
Kementerian Luar berkata, rakyat Malaysia di sana dinasihatkan berbuat demikian melalui apa jua kedah selamat dan tersedia.
Jelas kementerian itu, situasi semasa di sana sangat tidak menentu dan berpotensi menjadi lebih buruk tanpa sebarang amaran awal.
“Keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia kekal sebagai keutamaan kementerian.
“Kementerian melalui Kedutaan Besar Malaysia di Tehran sedang memantau rapi perkembangan keselamatan di Iran.
‘Usaha ini telah dipertingkatkan susulan tindakan agresif rejim Israel terhadap Iran pada 13 Jun 2025 yang telah memburukkan lagi ketegangan secara ketara di rantau tersebut.
“Pada masa ini, Kedutaan Besar Malaysia di Tehran berterusan berhubung rapat dengan semua rakyat Malaysia yang telah berdaftar di Iran,” jelas kementerian itu menerusi kenyataan media hari ini.
Tambah kenyataan itu, setakat ini kesemua rakyat Malaysia yang berdaftar dengan kedutaan di sana telah disahkan selamat dan telah dinasihatkan untuk meninggalkan Iran dengan segera.
“Kedutaan Besar Malaysia akan terus menyediakan bantuan konsular yang diperlukan bagi memudahkan proses perjalanan mereka dari Tehran,” kata kenyataan itu.
Rakyat Malaysia di Iran boleh menghubungi di pejabat kedutaan di Tehraan di alamat No.25, 2nd Alley, North Zarafshan St., Shahrak-e-Gharb atau mengghubunyi +98 21 8807 2444, +98 21 8807 8606, +98 933 535 2602. -TVS