KUALA LUMPUR, 17 Jun: Pustakawan di rantau ASEAN berdepan cabaran besar dalam usaha menyemarakkan semangat membaca dalam kalangan masyarakat di tengah ledakan teknologi dan kecerdasan buatan (AI).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kemajuan teknologi mengubah tabiat membaca dan cara masyarakat menerima serta memproses maklumat.
“Apabila pempengaruh (di medial sosial) berkata sesuatu, terus mereka membuat anggapan tertentu. Kini budaya kreativiti untuk memahami kebenaran dan menghayati menerusi amalan membaca telah hilang,” katanya pada Kongres Pustakawan Asia Tenggara (CONSAL) Ke-19 di Pusat Dagangan Dunia di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.
Sehubungan itu, kata Anwar, para pustakawan juga perlu memikirkan kaedah terbaik untuk meningkatkan kecintaan terhadap ilmu pengetahuan dan amalan membaca.
Selain itu, kelompok yang cintakan ilmu itu juga perlu mentransformasikan perpustakaan untuk menjadi sebuah pusat komuniti yang dinamik, aktif dan relevan dengan keperluan masyarakat masa kini.
“Perpustakaan perlu bersesuaian dengan kehendak semasa dalam digital dan AI dan tugas kita untuk menggalakkan masyarakat termasuk golongan pelajar dan orang muda untuk mempunyai minat membaca,” ujarnya. – TVS