SIBU, 17 Jun: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 merampas pelbagai barangan penyeludupan dianggarkan bernilai lebih RM77.3 juta menerusi 84 serbuan yang dijalankan di seluruh Sarawak dari 1 Januari hingga 15 Jun 2025.
Pemangku Komander PPM Wilayah 5, Superintendan Rusdin Banin berkata, sebanyak 94 individu turut ditahan dalam tempoh tersebut atas pelbagai kesalahan termasuk penyeludupan barangan tidak berkastam, barangan kawalan dan bersubsidi, hidupan liar serta kesalahan di bawah Ordinan Perhutanan Sarawak dan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Dalam kes terbaharu, pihaknya merampas rokok dan minuman keras disyaki tanpa dokumen sah, bernilai RM5.05 juta, hasil pemeriksaan ke atas sebuah lori kargo di tepi jalan KM 16 Sibu-Bintulu pada Ahad lalu.
“Tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sibu untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menyeru orang awam agar terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis dalam usaha membanteras jenayah penyeludupan dan kegiatan haram lain yang menjejaskan keselamatan dan ekonomi negara. -TVS