KUALA LUMPUR, 17 Jun: Inisiatif Perpustakaan Digital ASEAN (ADL) merupakan usaha signifikan bagi mengatasi jurang ilmu pengetahun dalam kalangan masyarakat di negara-negara ASEAN.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata akses terhad untuk ke perpustakaan fizikal terutama di kawasan terpencil masih menjadi cabaran besar dalam mencapai keterangkuman ilmu.
Jelas beliau, kebolehcapaian internet dan literasi digital merupakan komponen penting bagi memastikan ilmu pengetahuan dapat disampaikan secara meluas kepada seluruh lapisan masyarakat.
“ADL ialah platform digital kolaboratif yang mengagregatkan metadata dari perpustakaan negara-negara ASEAN. Walaupun sistem ini masih berkembang, ia membolehkan akses rentas sempadan yang lancar kepada berpuluh-puluh beribu-ribu bahan digital, termasuk manuskrip, buku, artifak budaya, imej, surat khabar dan banyak lagi,” katanya.
Aaron Ago berkata demikian ketika berucap pada Kongres Pustakawan Asia Tenggara (CONSAL) Ke-19 di Pusat Dagangan Dunia yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.
Tambah beliau, ADL juga berpontesi untuk menjadi jambatan ilmu yang menghubungkan rakyat, sejarah dan masa depan rantau ini.
“(Oleh itu saya) menyeru kesemua negara anggota ASEAN untuk memperhebat penyertaan dalam inisiatif ini dan membuat pelbagai pelaburan yang mampu menambah baik integrasi koleksi nasional.
“Menerusinya, kita bukan sahaja dapat memperkaya kandungan dan kepelbagaian ADL, tetapi juga memperkasa peranan penyelidik, pelajar, dan rakyat dari seluruh rantau ini untuk mengakses relevan budaya, berkualiti tinggi maklumat dalam bahasa mereka sendiri,” katanya. – TVS