BETONG, 17 Jun: Kerajaan terus memberi tumpuan dalam pembangunan sukan di negeri ini dengan menyediakan prasarana sukan terbaik sebagai usaha berterusan dalam melahirkan lebih ramai atlet di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, konsep dan pendekatan ‘sukan untuk semua’ yang bersifat komprehensif perlu dijadikan sebagai indikator bagi membudayakan sukan dalam kehidupan harian masyarakat di negeri ini.
“Kita percaya pendekatan ini penting bagi menyediakan kemudahan-kemudahan
sukan dan rekreasi yang kukuh dan mampan demi pertumbuhan masa hadapan negeri yang lebih berdaya tahan dan sihat.
“Dengan penyediaan prasarana sukan dan rekreasi yang bermutu dan berteraskan kehendak rakyat, ia akan memperkasakan lagi sektor sukan berprestasi tinggi secara keseluruhannya,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Majlis Sukan Sekolah (MSS) Bahagian Betong ke-21 di Kompleks Sukan Betong hari ini.
Katanya, kejohanan itu merupakan wadah penting dalam memupuk budaya bersukan dalam kalangan anak-anak.
“Anak-anak yang berada di hadapan saya pada hari ini merupakan permata yang perlu kita gilap agar ia bersinar dan membawa nama Sarawak serta Malaysia ke persada sukan antarabangsa.
“Saya berharap agar semua atlet yang bertanding menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi, bersaing secara sihat dan menjadikan kejohanan ini sebagai medan untuk menimba pengalaman dan memperkukuh semangat kebersamaan antara sekolah-sekolah di Bahagian Betong,” katanya.
Pada majlis itu beliau turut meluluskan peruntukan sebanyak RM20,000 kepada SMK Saribas dan Zon Debak selaku pemganjur bersama kejohanan edisi kali ini serta RM20,000 lagi kepada MSS Bahagian Betong sebagai persiapannya menghadapi kejohanan MSS Sarawak yang berlangsung di Sibu selepas ini.-TVS