BANGI, 17 Jun: Empat prinsp utama iaitu kepimpinan dan tadbir urus, prestasi dan pembangunan bakat, teknologi dan pendigitalan serta kesejahteraan dan penglibatan warga perlu menjadi pegangan seluruh warga Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata kepimpinan bukan hanya melibatkan soal jawatan tetapi amanah serta tanggungjawab yang menuntut setiap penjawat awam perlu sentiasa diberi ruang untuk belajar serta berkembang.
“Teknologi penting supaya perkhidmatan kita lebih cekap dan mesra rakyat manakala kesejahteraan serta penglibatan warga akan membentuk pasukan yang saling menyokong demi menghasilkan kerja berkualiti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) KPWKM 2025 di sini hari ini.
Turut hadir Timbalannya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Sementara itu tambah Nancy, KPWKM kini memainkan peranan penting dalam menjayakan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) yang melibatkan sistem, nilai dan cara kerja penjawat awam bagi membawa perubahan bermakna.
“Saya percaya kementerian mampu menghayati nilai HEMAT iaitu Hijrah Tatakelola, Empati Rakyat, Minda Pekin, Apresiasi Inovasi dan Tadbir Urus Telus dalam setiap tindakan.
“Kadangkala tindakan sekecil menjawab panggilan dengan sopan pun boleh memberi kesan besar kepada imej kementerian,” katanya.
Sementara itu seramai 646 warga KPWKM diraikan pada majlis hari ini dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat mencatatkan bilangan penerima tertinggi iaitu 525 termasuk lapan orang kurang upaya diikuti 72 daripada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, 19 daripada Jabatan Pembangunan Wanita serta enam daripada Institut Sosial Malaysia. -Tvs.