KUCHING, 17 Jun: Negara-negara anggota ASEAN kini dalam proses menyesuaikan pelaksanaan dalaman masing-masing termasuk dari segi perundangan sebelum memuktamadkan penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) Grid Tenaga ASEAN (APG).
Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Mad Zaidi Mohd Karli berkata proses tersebut dijangka mengambil sedikit masa bergantung kepada keperluan setiap negara.
Namun begitu, beliau yakin MoU tersebut dapat ditandatangani menjelang penghujung Oktober ini sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) ke-43 yang akan diadakan di Kuala Lumpur.
“Alhamdulillah, semasa Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Tenaga ASEAN (SOME) berlangsung semalam, semua negara ASEAN telah bersetuju secara dasarnya untuk menandatangani MoU APG yang telah dipertingkatkan.
“Setiap negara memerlukan sedikit masa untuk menyelesaikan proses dalaman dari segi perundangan dan sebagainya sebelum ia dimuktamadkan,” katanya kepada media selepas mempengerusikan hari kedua SOME ke-43 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata meskipun terdapat perbezaan dari segi tempoh dan keperluan dalaman, komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh negara-negara anggota memberikan keyakinan bahawa proses tersebut dapat diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan.
“Saya percaya semua negara dapat meratifikasikan proses ini menjelang Oktober dan bersedia menandatangani MoU tersebut bersama-sama di Kuala Lumpur nanti.
“Berdasarkan maklum balas semasa mesyuarat, kita menerima reaksi yang positif,” katanya.