KUALA LUMPUR, 17 Jun: Kerajaan melancarkan Hub Inovasi Aset Digital sebagai langkah strategik untuk memperkukuh kedudukan negara dalam sektor kewangan digital dan aset maya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hub itu juga akan menyediakan ruang ujian dan kerjasama kepada pemain industri dan pengawal selia untuk membangunkan penyelesaian kewangan moden berasaskan teknologi terkini.
“Hab ini akan berperanan sebagai pemangkin kemajuan, yang membolehkan para inovator menguji kes penggunaan seperti pembayaran boleh atur yang disandarkan kepada ringgit dan pembiayaan rantaian bekalan.
“Ini sekali gus membuka kecekapan baharu dalam sistem kewangan dan ekonomi yang lebih luas,” katanya ketika berucap pada Simposium Sasana 2025 di Bank Negara Malaysia, di sini, pada Selasa.
Menurutnya, inisiatif ini dijangka akan membawa kepada peningkatan kecekapan dalam sistem kewangan serta sektor ekonomi yang lebih luas.
Anwar turut mengimbas semula langkah awal negara dalam meneroka bidang aset digital melalui kajian mata wang digital bank pusat (CBDC) sejak awal 2017.
Jelasnya, usaha ini diperkukuh lagi dengan penubuhan kerangka kawal selia formal pada 2019 bagi memberi keyakinan dalam urus niaga dan pelaburan aset kripto.
“Hari ini, kita menanda satu lagi permulaan kepada bab baharu – menuntut kerjasama yang lebih mendalam antara pihak pengawal selia dan pemain industri.
“Pelancaran Hab Inovasi Aset Digital menjadi bukti komitmen Malaysia untuk memastikan dasar sentiasa berkembang seiring dengan inovasi,” jelasnya. -TVS.