SARATOK, 17 Jun: Seorang lelaki berusia 44 tahun cedera selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya terbalik dalam satu kemalangan kendiri di Kilometer 71.5, Lebuhraya Pan Borneo, Jalan Sarikei-Betong, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Saratok, Deputi Superintendan Mathew Manggie berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.12 petang ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Sarikei menuju ke Kuching.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar penghadang jalan di kedua-dua bahagian kiri dan kanan sebelum kenderaan tersebut terbalik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, akibat kemalangan itu mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala, tangan serta kaki dan telah dihantar ke Hospital Saratok oleh ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN/166/59). -TVS