Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dato Dr Jeniri Amir berkata beliau menyaksikan pembangunan Sarawak selepas kemerdekaan yang tidak pernah terbayang suatu ketika dahulu.

Hari Sarawak bukan sekadar sejarah, tapi tanggungjawab generasi baharu

ByAsmah Adenan

BAGI rakyat Sarawak, tarikh 22 Julai bukan sekadar hari memperingati detik bersejarah kemerdekaan daripada penjajahan British, tetapi lebih besar daripada itu. Ia simbol keberanian, pengorbanan dan cita-cita berterusan demi masa depan negeri yang berdaulat dan makmur.

Tarikh ini menyatukan generasi lama dan baharu, sebagai peringatan akan darah dan keringat pejuang tanah air serta pencetus semangat nasionalisme dalam kalangan anak Sarawak, terutamanya generasi muda.

Jika dahulu nama seperti Rentap, pejuang ulung yang digelar ‘Raja Berani’ dan Rosli Dhobi, pemuda yang berani mengorbankan nyawa demi tanah air menjadi lambang keberanian, kini susuk seperti Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg meneruskan perjuangan itu, bukan dengan senjata, tetapi dengan dasar, kebijakan dan visi pembangunan yang jelas.

Menurut penganalisis politik, Dato Dr Jeniri Amir, 113 tahun di bawah penjajahan dan 62 tahun selepas merdeka telah menyaksikan transformasi menyeluruh yang tidak pernah terbayang suatu ketika dahulu.

“Di kampung saya di Tellian Tengah, Mukah, pada penghujung 1950-an, tiada jalan raya, tiada bekalan elektrik atau air bersih, sekolah daif dan kemiskinan berleluasa.

“Tetapi hari ini, apabila saya pulang, saya lihat jalan berturap, rumah beratap genting, bekalan utiliti lengkap, dan sekolah moden dibina menggantikan yang lama.

“Itulah wajah Sarawak baharu hasil perjuangan berterusan pemimpin kita,” katanya dalam temu bual khas sempena sambutan Hari Sarawak pada 22 Julai ini.

Jeniri turut menyifatkan kepimpinan Abang Johari sebagai kesinambungan perjuangan tokoh terdahulu yang kini dimodenkan dalam bentuk menuntut semula hak Sarawak menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Beliau seorang pemimpin yang berpandangan jauh, mempunyai pemikiran strategik dan dinamik.

“Beliau bukan sahaja berani keluar dari kerangka lama, contohnya menubuhkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) selepas meninggalkan Barisan Nasional, tetapi juga bijak meletakkan Sarawak di landasan ekonomi digital dan lestari.

“Hasil dasar yang progresif, pendapatan Sarawak melonjak dari RM5.6 bilion pada 2017 kepada RM14.2 bilion pada 2024,” ujarnya.

Justeru, sambutan Hari Sarawak bukan sekadar mengimbau sejarah, tetapi juga untuk merenung ke hadapan, menyemai semangat cintakan negeri, menghargai keamanan dan menyokong usaha pemimpin demi kemajuan berterusan.

“Generasi muda perlu menyedari bahawa kebebasan dan kemakmuran hari ini bukan datang tanpa perjuangan. Mereka harus berani menyambung legasi ini dengan ilmu dan semangat patriotisme,” katanya.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan