KUCHING, 17 Jun: Generasi muda di Sarawak disaran agar menceburi industri kenderaan tenaga hijau (EV) selaras dengan peralihan global ke arah teknologi automotif yang lebih lestari.
Ahli Dewan Negara, Senator Dato Ahmad Ibrahim menerusi kenyataan media berkata, kemahiran dalam bidang EV bukan lagi satu kelebihan sebaliknya keperluan mendesak bagi menjamin daya saing belia di masa hadapan.
“Kita bukan sahaja ingin sekadar melatih mekanik, kita sedang membina inovator. Kita bukan sekadar melahirkan pekerja, kita sedang melahirkan tenaga mahir yang akan memacu industri hijau Malaysia,” menurutnya ketika merasmikan Program Hybrid Electric Vehicle dan Pemerhatian Latihan Kemahiran Belia anjuran Quick Skill Sdn Bhd di Euroauto Garage Sdn Bhd di sini, semalam.
Program latihan teknikal itu memberi penekanan khusus kepada bidang automotif hibrid dan elektrik, sekali gus membuka ruang kepada golongan muda untuk menyertai sektor yang sedang berkembang pesat di peringkat global.
Dalam pada itu, Ahmad turut menyeru kerjasama erat antara sektor awam dan swasta untuk memperbanyakkan program pembangunan kemahiran yang berteraskan teknologi hijau khususnya melibatkan bakat tempatan.
Menurutnya, beliau komited untuk terus menyokong dasar-dasar yang memacu latihan teknikal di peringkat nasional termasuk mencadangkan insentif tambahan kepada syarikat yang aktif melahirkan tenaga kerja mahir tempatan.
Program itu diharap menjadi model kepada latihan teknikal berimpak tinggi yang boleh diperluaskan ke seluruh negeri dan rantau Borneo. – TVS