KUCHING, 17 Jun: Sarawak menerima pujian daripada pegawai-pegawai kanan ASEAN atas standard tinggi dalam etika melayan tetamu, khususnya tetamu antarabangsa, sempena penganjuran Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Tenaga ASEAN (SOME) ke-43 baru-baru ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, para pegawai ASEAN menyuarakan kekaguman mereka terhadap layanan yang diberikan ketika lawatan kerja ke negeri ini.
“Apabila mereka berada di sini semalam, mereka sangat terkejut dengan cara layanan kita kepada tetamu.
“Mereka sangat senang sehinggakan mereka berkata cara layanan kita perlu diikuti apa yang telah kita tunjukkan mereka untuk tetamu mereka nanti.
“Sudah tentu ini tidak akan dapat dicapai jika kita tidak ada perpaduan serta kerjasama yang erat antara pelbagai kaum walaupun kita mempunyai kepercayaan berbeza,” kata beliau dalam ucapannya semasa Sambutan Gawai Dayak Jabatan Premier Sarawak 2025.
Menurut beliau, kejayaan itu tidak akan dicapai tanpa perpaduan dan kerjasama erat dalam kalangan rakyat berbilang kaum di Sarawak, walaupun mempunyai latar belakang kepercayaan yang berbeza.
Dalam ucapannya, Abang Johari turut menekankan usaha kerajaan negeri dalam memelihara keharmonian kaum melalui pembangunan infrastruktur budaya.
Antara inisiatif tersebut termasuk pembinaan Bangunan Yayasan Kebudayaan Dayak (DCF) untuk masyarakat Iban, Bangunan Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) di Kuching untuk masyarakat Bidayuh, serta Pusat Kebudayaan Orang Ulu (FORUM) di Miri.
Beliau juga memaklumkan bahawa Sarawak telah mencatat prestasi kewangan memberangsangkan bagi suku pertama tahun 2025.
“Saya berharap kita akan konsisten untuk tiga suku yang akan datang kerana sudah tentu ini akan memberikan kelebihan kepada Sarawak dan rakyatnya,” ujar beliau.
Sempena acara ini, Jabatan Premier Sarawak juga telah menyampaikan bantuan perkakas sekolah kepada 163 pelajar di SK St Francis Xavier, Seratau pada 10 Jun lepas. – TVS