KLUANG, 17 Jun: Sebanyak 38 buah sekolah di dalam kem Angakatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara bakal melaksanakan program digitalisasi pendidikan bermula tahun ini.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, langkah itu merupakan inisiatif Kementerian Pertahanan (MINDEF) bagi membudayakan kemahiran teknologi kreatif dan digital dalam kalangan murid -murid yang merupakan anak-anak warga kementerian itu.
Katanya, setakat ini tiga buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sir Ibrahim, SK Kementah dan SK Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang telah melaksanakan program berkenaan.
Katanyanya, program kerjasama rentas kementerian dan sektor swasta itu bermatlamat untuk melahirkan murid yang mahir digital dan seterusnya berupaya memenuhi keperluan era berkenaan.
“Sebagai permulaan, pada tahun ini MINDEF menyasarkan tiga buah sekolah dalam kem untuk dilaksanakan projek rintis ini dengan kerjasama rakan-rakan strategik iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Affin Bank Berhad,”katanya.
Adly berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Majlis Peluncuran Program Digitalisasi Sekolah Dalam Kem (SDK) di SK Sultan Sir Ibrahim di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Eksekutif Perbankan Komuniti Kumpulan, Affin Bank Bhd. Mohammad Fairuz Mohd Radi, Panglima 7 Briged Brigedier Jeneral Zulhelmi Masdar dan Timbalan Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota Brigedier Jeneral TUDM, Hamdan Ahmad.
Pada majlis itu, Mohammad Fairuz turut menyampaikan sumbangan RM32,000 bank berkenaan untuk perlaksanaan program di sekolah berkenaan.
Sementara itu tambah Adly, inisiatif berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat di 35 buah sekolah lagi pada tahun hadapan berpandukan hasil inisiatif di tiga buah sekolah yang terlibat dalam program rintis ini.
“Usaha ini adalah sebagai langkah memperkukuh ekosistem kesejahteraan selaras dengan pelbagai agenda nasional termasuk agenda membangun Negara MADANI dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara serta cabaran dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP).
“MINDEF akan melihat perkembangan dan maklum balas daripada pihak sekolah terlibat samada program ini perlu ditambah baik lagi,”katanya. -TVS.